Saturday, 16 June 2012

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui..(al Israa' ayat 1)

Berlaku pada tarikh 27 Rejab, sebelum hijrah.




Sebelum peristiwa tersebut, Rasulullah saw telah mengalami pembedahan dada dilakukan oleh Malaikat Jibril dan Mikail. Hati baginda telah dicuci dengan air zam zam, dibuang ketul ketul hitam (alaqah) tempat syaitan membisikkan perasaan was was. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah saw. Selepas itu dada baginda telah dimaterikan dengan "Khatimin Nubuwwah". Selesai pembedahan, baginda didatangkan dengan seekor binatang bernama BURAQ. Baginda telah menunggangnya dalam perjalanan luarbiasa yang dinamakan ISRAK.



ISRAk (perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjid Al - Aqsa)

Sepanjang Israk, Rasulullah saw telah diiringi oleh Malaikat Jibril dan Israfil. Tiba ditempat tempat bersejarah, malaikat telah diarahkan oleh Jibril untuk berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat itu ialah ;

NEGERI THAIBAH (MADINAH)
Tempat dimana Rasulullah saw akan berhijrah.

BUKIT TURSINA
Tempat Nabi Musa as menerima wahyu daripada Allah swt

BAITUL LAHAM
Tempat Nabi Isa as dilahirkan

Didalam perjalanan inilah Rasulullah saw telah diganggu oleh Jin Affrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa simbolik yang amat ajaib diantaranya ;

KAUM BERCUCUK TANAM

Rasulullah saw telah melihat satu kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman tersebut. Apabila dituai, hasil yang baru mula keluar, seolah olah belum dituai. Hal ini berlaku berulang ulang. Lalu Rasulullah saw bertanya kepada Jibril dan diberitahu oleh Jibril bahawa itu adalah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkanb sehingga gandaan yang lebih banyak.

TEMPAT BERBAU HARUM

Rasulullah saw telah diberitahu oleh Jibril itu adalah bau kubur Masyitah, tukang sisir rambut anak Firaun bersama suami dan anak anaknya termasuk bayi yang berkata kata untuk memujuk ibunya supaya menguatkan iman. Mereka telah dibunuh oleh Firaun kerana tidak mengaku Firaun itu tuhan.

SEKUMPULAN MANUSIA MEMECAHKAN KEPALA SENDIRI

Rasulullah saw telah melihat sekumpulan manusia telah memecahkan kepala mereka sendiri ke batu. Setiap kali pecah, kepala itu akan sembuh kembali lalu dipecahkan lagi, dan kejadian itu berulang tanpa henti. Jibril memberitahu Rasulullah saw itu adalah golongan manusia yang malas atau berat kepala mereka untuk sujud kepada Allah swt..yakni tidak solat.

MENUTUP KEMALUAN DENGAN SECEBIS KAIN

Rasullah saw juga telah melihat sekumpulan manusia yang terlanjang. Tetapi mereka hanya menutup kemaluan yakni qubul dan dubur dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka memakan bara api dan batu dari neraka jahannam. Jibril menerangkan itu adalah manusia yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

MAKAN DAGING MENTAH DAN BUSUK

Terlihat sekumpulan manusia yang memakan daging mentah yang telah busuk sedangkan daging masak ada di sebelah mereka. Jibril menerangkan itu adalah golongan lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan masing masing mempunyai suami isteri yang sah.

LELAKI BERENANG DALAM SUNGAI

Kelihatan seorang lelaki berenang di dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Jibril menerangkan itu adalah golongan manusia yang memakan riba..

LELAKI MEMBAWA KAYU

Rasulullah saw telah melihat lelaki yang telah mengumpul seberkas kayu dan dia tak berdaya memikulnya tetapi telah menambah lagi kayu yang lain. Jibril mengatakan itu adalah orang yang tidak menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

MENGUNTING LIDAH DAN BIBIR

Terlihat satu kaum yang menggunting lidah dan bibir, bila terputus tiba tiba ia tumbuh kembali. Lalu diguntingnya kembali dan keadaan itu berulang ulang tanpa henti. Jibril mengatakan itu adalah golongan orang yang suka menabur fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

MENCAKAR MUKA DAN DADA

Satu kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Jibril mengatakan itu adalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela dan menghina) orang lain.

LEMBU KELUAR DARI LUBANG SEMPIT

Seekor lembu yang sangat besar telah keluar dari lubang yang sempit. Lembu itu berusaha untuk masuk ke lubang sempit itu semula tetapi tidak berjaya. Jibril mengatakan itu adalah golongan orang yang bercakap besar (Takabbur), kemudian menyesal tetapi telah terlambat.

SEORANG PEREMPUAN DENGAN DULANG DIPENUHI HIASAN

Terlihat oleh Rasulullah saw akan seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah saw tidak memperdulikannya. Jibril mengatakan itulah dunia. Jika Rasulullah saw memperdulikan perempuan itu nescaya umat islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat..

PEREMPUAN TUA

Rasulullah saw terserempak dengan seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah saw berhenti. Rasulullah saw tidak menghiraukannya. Jibril mengatakan itulah orang yang mensia siakan umurnya sampai ke tua..

PEREMPUAN BONGKOK TIGA

Seorang perempuan tua yang telah bongkok tiga menahan Rasulullah saw untuk bertanyakan sesuatu. Jibril mengatakan itu adalah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah saw turun dari Buraq. Kemudian baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbiya dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah saw terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah saw telah memilih susu lalu meminumnya. Kata Jibril baginda telah membuat pilihan yang betul. Jika Rasulullah saw memilih arak nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


MIKRAJ (NAIK KE HADHRATUL QUDUS)


Rasulullah saw telah didatangkan Mikraj (tangga) yang sangat indah dari syurga. Rasulullah saw bersama Jibril telah menaiki tangga tersebut, ketika di atas tangga pertama lalu mereka terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 

LANGIT PERTAMA

Baginda dan Jibril telah melangkah ke langit pertama. Orang yang pertama ditemui oleh Rasulullah saw ialah Nabi Adam as. Di sini juga Rasulullah telah menyaksikan balasan ke atas orang orang yang makan riba dan harta anak yatim. Melihat orang yang berzina yang mempunyai rupa dan kelakuan yang sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

LANGIT KE DUA

Rasulullah saw dan Jibril telah melangkah ke tangga langit ke dua. Ketika masuk mereka telah bertemu dengan Nabi Isa as dan Nabi Yahya as.

LANGIT KE TIGA

Rasulullah meneruskan langkahnya menuju ke langit ke tiga. Di sini baginda bertemu dengan Nabi Yusuf as.

LANGIT KE EMPAT

Ketika sampai di langit ke empat baginda bertemu dengan Nabi Idris as.

LANGIT KE LIMA

Mereka meneruskan perjalanan hingga ke langit ke lima. Di langit ke lima baginda bertemu dengan Nabi Harun as yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

LANGIT KE ENAM

Selepas itu Baginda dan Jibril tiba di langit ke enam. Di sini baginda telah bertemu dengan para nabi dan Nabi Musa as. Jibril telah meminta Rasulullah saw mengangkat kepalanya untuk melihat umat baginda yang ramai, termasuklah 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

LANGIT KE TUJUH

Ketika sampai di langit ke tujuh, di sini baginda telah bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma 'mur dan dihadapi oleh kaumnya. 

Ketika inilah Nabi Ibrahim as telah bersabda ;

"Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umat mu adalah umat akhir dan terlalu daif maka berdoalah untuk umat mu. Suruhlah umat mu menanam tanaman syurga iaitu " LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH".


Menurut hadis lain, Nabi Ibrahim as telah bersabda ; 

"Sampaikan salamku kepada umat mu dan beritahu kepada mereka Syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya adalah lima kalimah iaitu : SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH WA LAH ILAHAILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WALA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHIL ALIYYIL AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok di dalam syurga."


Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah saw dan Jibril telah melangkah ke dalam Baitul Ma'mur dan bersembahyang di dalamnya. (Baitul Ma'mur ini betul betul berada di atas Baitullah di Mekah)

TANGGA KE LAPAN

Ketika Baginda di tangga ke lapan. Di sinilah disebut "AL-KURSI" yang betul betul dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Baginda saw telah melihat pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah buahan, daun daun, batang dan dahannya berubah ubah warna dan bertukar menjadi permata permata yang sangat indah. 

Unggas unggas emas berterbangan. Semua keindahan ini tidak tergambarkan oleh manusia. Baginda saw dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke dalam syurga. Seterusnya Baginda saw telah masuk ke dalam syurga dan melihat neraka serta penjaga neraka yaitu Malaikat Malik.

TANGGA KE SEMBILAN

Disini dikatakan betul betul berada dengan pucuk pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah saw telah masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang manusia yang ghaib di dalam nur arasy, iaitu lelaki yang sering basah lidahnya berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Rabbul-Arbab Rasulullah saw telah bertemu dengan Allah swt. Lalu terjadilah dialog antara Allah swt dan kekasihnya Rasulullah saw.

Allah swt telah berkata "Ya Muhammad"

Rasulullah saw menjawab " Labbaika Allah"

Allah swt bersabda "Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, kami perkenankan"

Rasulullah saw berkata " Ya Rab, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata kata denga Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau Kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapapun dan memudahkan Sulaiman menguasai Jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin Mu dia dapat menyembuhkan orang yang buta, sopak dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan."

Allah swt berkata "Aku ambil mu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umat mu sebaik baik umat. Aku berikan keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (SURAH AL FATIHAH) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikan mu ayat ayat di akhir surah al Baqarah sebagai satu perbendaharaan di bawah Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakan mu panji panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji panjimu. Dan aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai bermunajat, Rasulullah saw telah di bawa bertemu dengan Nabi Ibrahim as, kemudian dengan Nabi Musa as yang telah menyuruh Rasulullah saw merayu kepada Allah swt agar dikurangkan jumlah waktu sembahyang kerana sembahyang sebanyak itu tidak akan mampu dilakukan oleh umat Rasulullah saw. Selepas sembilan kali merayu, di mana setiap kali rayuan Rasulullah mendapat pengurangan sebanyak lima waktu. Nabi Musa as berkata masih tidak mampu dilakukan oleh umat Nabi Muhammad saw, lalu disuruhnya lagi Rasulullah saw bertemu Allah swt untuk yang ke sepuluh kalinya. Tetapi Rasulullah saw tidak mahu kerana sangat malu dengan Allah swt selepas sembilan kali merayu kepada Allah swt. 

Begitulah akhirnya solat kita telah difardukan sebanyak lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak lima puluh waktu juga.


SELEPAS MIKRAJ

Setelah selesai semua urusan akhirnya Rasulllah saw telah turun ke langit dunia semula. Seterusnya terus ke Baitul Maqdis. Lalu menaiki Buraq dan menuju ke Mekah pada malam yang sama. Di dalam perjalanan ini Baginda saw telah bertemu dengan beberapa peristiwa yang akhirnya menjadi saksi akan kebenaran peristiwa Israk Mikraj ini. Peristiwa ajaib ini dikatakan berlaku pada Malam Isnin, 27 Rejab. Kira kira 18 bulan sebelum hijrah. 



Di salin dari Pustaka Tarbiah

Friday, 15 June 2012

MAJLIS ISRAK MIKRAJ ANJURAN SURAU TANAH WAKAF 2012

Assalamualaikum wbkt..


Kepada warga Surau Tanah Wakaf serta penduduk sekitarnya adalah dijemput ke Majlis Israk Mikraj yang bakal diadakan pada 23hb June, 2012.  Majlis akan dilangsungkan di Surau Tanah Wakaf. Majlis bermula pada petangnya hingga malam tersebut..


Aturcara majlis termasuklah menikmati Qasidah dan Marhaban, Solat maghrib dan Isyak berjemaah, ceramah dari penceramah jemputan Ustaz NorAzman bin Mohammad dan diakhiri dengan jamuan makan malam.


Ustaz Norazman bin Hj Mohammad
kita boleh menghubungi facebook beliau di alamat Norazman bin Mohammad atau 
telefon 019 6400062






PROGRAM GOTONG ROYONG

Assalamualaikum wbkt..pada warga Surau Tanah Wakaf, jangan lupa 17hb June 2012 bersamaan hari Ahad akan diadakan gotong royong membersihkan surau dan kawasan wakaf.


Sunday, 10 June 2012

PROGRAM ZIARAH JUNE 2012

Assalamualaikum wbkt..

Alhamdulillah kerana Allah swt telah melancarkan perjalanan kami dalam merealisasikan Program Ziarah untuk tahun 2012.  Sebenarnya kalau mengikut kepada ketua program iaitu Saudara Imam Muda kami Encik Azizan dan Encik Azhar ini adalah ziarah bagi kali ke empat  bagi mereka berdua.

Tujuan ziarah ini adalah untuk mendekatkan diri dengan alim ulama dan menziarah makam para ulama/wali yang terkenal satu ketika dahulu.

Perjalanan bermula pada hari Sabtu malam bersamaan 2hb June 2012.  Kumpulan kami sampai di Terengganu Darul Iman iaitu destinasi pertama program ini.  Di Terengganu kami melawat Makam Allahyarham Tok Ku Paloh dan Makam Tok Pulau Manis.  

Makam Tok Ku Paloh 

ULAMA Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah. 



Makam Tok Pulau Manis
Ini adalah bangunan makam Allahyarham Tok Pulau Manis, seorang ulamak besar bertaraf wali yang hidup di Terengganu pada abad ke 17 Masihi. Letaknya di Kampung Pulau Manis, sekitar 25 km di barat-daya Kuala Terengganu. Menurut ceritanya, beliau adalah cicit kepada Sharif Muhammad al-Baghdadi, orang yang dipercayai menulis Batu Bersurat Terengganu pada tahun 1303 Masihi.

Perjalanan diteruskan ke destinasi kedua iaitu ke Negeri Kelantan Darul Naim. Kami sampai ke Kota Bharu pada hari Isnin bersamaan 4hb June 2012.  Selepas bersarapan kami terus menuju ke rumah Tok Guru Nik Aziz.  Selepas solat zohor program kami diteruskan dengan melawat Makam Tok Kenali.
   
.
Gotong royong membersih Masjid Tuan Guru Nik Aziz

Gambar Masjid Tuan Guru Nik Aziz


Bergambar kenangan di hadapan rumah Tuan Guru Nik Aziz

Rumah Tuan Guru Nik Aziz

Mengabadikan kenangan di hadapan Masjid Tuan Guru
Kami sampai di Makam Allahyarham Tok Kenali sebelum asar. Haji Awang Muhammad Yusof Kenali atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali merupakan seorang ulamak yang amat masyhur bukan sahaja bagi negeri Kelantan malah di negeri-negeri lain di Malaysia secara amnya serta wilayah-wilayah selatan Thailand.

Ketika menziarah Makam Allahyarham Tok Kenali


Kami singgah di Masjid Beijing dan menunaikan solat maghrib di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Negeri Kedah Darul Aman.  Perjalanan bermula pada pukul 8 malam dan sampai ke destinasi pada pukul 2 pagi bersamaan 5hb June 2012.


Bertemu dengan Saudara Zakaria bin Abdul Rahman, seorang kenalan di Baling. Beliau telah membawa kami melawat Makam Allahyarham Ibrahim Libya dan Para Syuhada semasa Peristiwa Memali.  Saudara Zakaria telah mempelawa kami berehat di rumah Anak Yatim Yakin Al Wadi, Rumah tersebut adalah milik keluarga beliau.



Makam Syuhada Peristiwa Memali
salah seorang daripadanya ialah Allahyarham Ibrahim Libya

Alhamdulillah selepas tidak mendapat rehat yang sempurna, kami dapat meluruskan segala urat saraf di asrama Rumah Anak Yatim Yakin Al Wadi tersebut.  
  
bergambar kenangan bersama Saudara Zakaria di sekolah anak yatim Yakin al Wadi
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Rumah Anak yatim Yakin Al Wadi sila lawat laman web di alamat


Peringatan ini terdapat di hadapan rumah Saudara Mat Tariq

Kemudian program kami menjadi bertambah menarik apabila Saudara Zakaria membawa kami bertemu dengan Saudara Mat Tariq...cendiakawan islam yang tinggal di kampung Baling yang menjadi rujukan berkenaan agama oleh orang orang kampung di sana...bijaksana orangnya..

Bersama Saudara Mat Tariq..
Selepas itu kami bergerak ke rumah Pak Cu Mid selepas dicadangkan oleh Saudara Mat Tariq. Pak Cu Mid atau nama sebenarnya Tuan Guru Haji Abdul Hamid ini berkhidmat sebagai tok guru di Pondok Telaga Sembilan.  Untuk mengenal lebih lanjut sila lawati laman..


AJK Surau Tanah Wakaf  bersama Pak Cu Mid

Pak Cu Mid
Lawatan kami diteruskan dengan menziarah Makam Allahyarham Ustaz Fadhil Noor.  Selepas itu kami meneruskan perjalanan untuk balik ke Negeri Sembilan.  

Di Makam Allahyarham Ustaz Fadhil Noor
Kami tiba di Seremban, Negeri Sembilan dan terus ke Makam Allahyarham Syeikh Muhammad Said.  Beliau adalah tokoh ulama yang terkenal di Negeri Sembilan dan juga salah seorang wali 7 Tanah Melayu.


Makam Syeikh Muhammad Said
Kami bertolak balik ke Kuala Pilah dengan selamat. Alhamdulillah.


Di sini kami ingin merakamkan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada Saudara Azim dan kesemua yang terlibat merancang dan merealisasikan Program Ziarah pada kali ini. Semoga Allah swt membalas segala bantuan yang telah dihulurkan kepada kami.


Saturday, 9 June 2012

Galeri Surau Tanah Wakaf

Ruangan ini akan memaparkan segala aktiviti dan program yang telah dijalankan
oleh pihak Surau Tanah Wakaf.