Saturday, 23 June 2012

MAJLIS ISRAK MIKRAJ SURAU TANAH WAKAF 23/6/2012

Assalamualaikum wbkt..

Alhamdulillah..segalanya berjalan seperti yang dirancangkan.  Terimakasih kepada semua AJK Surau Tanah Wakaf, Kg Tengah kerana begitu berdedikasi untuk menjayakan Majlis Sambutan Israk Mikraj pada kali ini.

Bermula pada hari sebelumnya,  para AJK bertungkus lumus mempastikan semua keperluan tiada kekurangan.

Terimakasih juga kepada kaum ibu yang sama sama mengerah tenaga sedari pagi sampai ke malam.  

Tukang masak dijemput khas dari Tampin, ditugaskan memasak masakan istimewa untuk malam nanti.

Anak anak Tahfiz dari Sekolah Tahfiz Sri Menanti dijemput sama untuk meraikan majlis.

Kumpulan Maulid di bawah pimpinan Pak Sayid dijemput dari Melaka dan sepatutnya mereka tiba awal, terlewat sedikit kerana sesat. 

Ketibaan para tetamu dan Ustaz Norazman.  Kami solat berjemaah dengan diimamkan oleh Ustaz Norazman sendiri.  Selepas solat maghrib bermulalah sesi ceramah dari beliau sempena Israk Mikraj.


kata kata aluan dari Ustaz  Majidi selaku Pengerusi Majlis

Sebelum ceramah dimulakan, Tuan Pengerusi Majlis iaitu Ustaz Majidi telah memberi sepatah dua kata dan menjemput Pengerusi Surau Encik Aris untuk memberi sedikit ucapan. Beliau mengatakan pada malam itu surau ada menyediakan tabung derma untuk surau dan tabung derma untuk seorang kariah surau yang mana ibunya memerlukan rawatan buah pinggang.


pengerusi surau, Encik Aris



Majlis diteruskan dengan ceramah dari Ustaz Norazman.  Berkaitan dengan Israk Mikraj, Beliau memperkatakan tentang 40 hadis yang mengesahkan peristiwa Israk Mikraj dan yang terdapat di dalam Al Quran pada surah antaranya al Isra dan an Najmi.


sangat bersemangat
Ustaz Norazman membahagikan perihal Israk Mikraj kepada 3 episod;

Beliau mengatakan Israk Mikraj adalah mukjizat yang dikurniakan kepada Rasulullah saw.  Tidak percaya kepadanya, bermakna kita jatuh kufur.  Sesiapa yang mencabar akan mukjizat para nabi sesungguhnya mereka tidak akan menang dengan kata kata mereka.

Mukjizat terbahagi kepada dua iaitu mukjizat hissi dan mukjizat maknawi.  

Hissi bermaksud satu perkara luar biasa anugerah Allah swt yang boleh dilihat, dipegang, dirasa dan didengar.  Umpamanya peristiwa Nabi Muhammad saw membelah bulan dan memancarkan air dari jejarinya. Beliau juga mengingatkan kembali bagaimana Baginda telah mencukupkan hidangan makanan dari rumah salah seorang jemaah...ketika itu hanya cukup untuk dirinya sekeluarga dan Rasulullah saw sahaja tetapi Rasulullah saw telah menjemput semua jemaah masjid untuk ke rumahnya.  Ini meresahkannya,  dengan mukjizat yang ada pada Rasulullah saw,  makanan yang sedikit menjadi cukup untuk semua orang.   

Maknawi pula bermaksud pula ialah yang hanya dapat difahami dengan daya akal fikiran. Mukjizat jenis ini memerlukan kajian dan penelitian kerana ia tidak dapat difahami dengan kekuatan pancaindera melainkan dengan akal fikiran yang sihat dan kajian yang sempurna. Contoh mukjizat maknawi adalah Israk Mikraj dan Al Quran. 

Perihal Israk Mikraj, bukan menjadi satu perbalahan kerana semua percaya dengan kebesaran Allah swt.  Sifat manusia yang percaya dengan apa yang mereka lihat dan kata kata Allah swt "kun fayakun" menjadi sandaran bila melihat sesuatu yang ganjil.  Bukanlah satu perkara yang merisaukan.

Cuma berkaitan dengan mukjizat Al Quran,  kita seolah olah lupa Al Quran itu adalah kata kata nasihat dan pesanan dari Allah swt kepada umat manusia.  Kita seolah olah tidak yakin dan merendah rendahkannya. Kita memandang manusia dan sistem mereka adalah lebih utama, baik dan lebih ditakuti dari hukum hukum Allah swt...umpamanya berkaitan dengan hukuman potong tangan bagi pencuri.  Sesetengah pihak yang percaya dengan rukun iman boleh berkata " hukum curi potong tangan, kalau potong habislaa orang itu" 

Hukum Qisas, ramai yang menolak dengan hukum Allah swt.  Manusia lebih percayakan dengan hukuman yang dicipta manusia.

Kita tanpa sedar telah mengambil setengah setengah jer apa yang ada dalam Al Quran untuk mewajarkan perbuatan kita kat dunia ni.

Sukar untuk kita akui sebenarnya selama ini kita terlalu bergantung dengan manusia bukan dengan Allah swt.  Seperti kata ustaz " makin banyak bergantung kepada Allah swt maka makin kuranglah bergantung dengan makhluk"

Berkaitan dengan Israk Mikraj juga, ustaz mengatakan ia adalah iktibar kepada manusia.  Untuk sampai kepada Allah swt kita perlu bersihkan hati dari penyakit dunia. Bila kita mati,  kita perlu bersih untuk kembali kepada Allah swt.

Hati boleh dibersihkan dengan Ibadah seperti duduk dengan ulama, duduk di dalam majlis ilmu, zikir dan sebagainya. Jika hati sakit sukar untuk kita mendekati Allah swt.

Jenis hati yang sakit

Sombong.  

Bangga dengan kelebihan diri tanpa sedar segalanya datang dari Allah swt. Contoh nyata si Iblis.

Tamak

Tidak pernah cukup dengan apa yang ada.  Sanggup melakukan apa sahaja tak kira halal ke haram atau syubahat asalkan dapat apa yang diidam.

Hasad dengki "hasad perkataan arab untuk dengki"

Tidak boleh lihat kelebihan orang lain.  Ustaz membangkitkan kembali al kisahnya Singapura dilanggar Todak dan Hang Nadim yang malang.


********************

Perihal Tawaduk,  siapa tawaduk akan diangkat Allah swt darjatnya.  Lalu ustaz bercerita tentang Buraq Buraq di syurga sangat gembira Jibril as akan memilih salah satu daripada mereka untuk dijadikan tunggangan Nabi Muhammad saw ketika Israk nanti. Ketika hendak memilih, Jibril as terpandang satu Buraq yang duduk menyendiri menundukkan kepalanya.  Lalu Jibril as mendekatinya dan bertanya akan kenapa dia begitu.  Lalu Buraq itu berkata yang dia tidak akan terpilih kerana siapalah dirinya berbanding dengan Buraq Buraq lain yang lebih besar, hebat dan kuat.  Sifatnya yang tawaduk menjadikan dirinya terpilih menjadi kenderaan Rasulullah saw ketika peristiwa penting itu.

Episod ke 2

Peristiwa Israk Mikraj terjadi adalah kerana Allah swt ingin menghiburkan hati nabi (tasliah), yang gundah gulana selepas kewafatan insan tersayang di dalam hidupnya.

Selain daripada itu untuk menerangkan kepada kekasihNya akan kebesaran dan kekuasaan Allah swt

Untuk mengembalikan semangat Baginda saw yang patah hati takkala menerima pelbagai cemuhan dan rintangan dari kaumnya. Di mana baginda telah dipertemukan dengan Nabi Nabi terdahulu, antaranya Nabi Musa as yang berdepan dengan Firaun yang kejam.

Episod 3

Selepas Israk Mikraj,  baginda kembali ke Mekah dengan resah hati.  Dirinya duduk bersendirian dan termenung panjang kerana memikirkan bagaimana cara untuk memberitahu orang Mekah akan apa yang dialaminya.  Kebetulan Abu Jahal melihat keadaan itu dan bertanyakan kepada Rasulullah saw.  Lalu Baginda menceritakan akan apa yang terjadi,  Abu Jahal dengan rancangan jahat telah menawarkan diri memanggil orang Mekah untuk berkumpul bagi mendengar cerita Rasulullah saw, baginya adalah tidak masuk akal.

Setelah semua berkumpul,  Rasulullah saw pun menceritakan tentang apa yang dialaminya.  Baginda menjadi bahan ketawa oleh sesetengah pihak terutama Abu Jahal dan kuncu kuncunya. Lalu timbullah pelbagai persoalan..antaranya berkenaan kedudukan Masjid Al Aqsa, tiang dan sebagainya.  Semua dapat dijawab dengan tepat oleh Nabi Muhammad saw dengan bantuan Allah swt..

Kemudian Nabi Muhammad saw mengatakan akan kehadiran Khafilah tidak berapa lama lagi akan sampai ke Mekah.  Sebentar kemudian rombongan itu sampai..jadi benarlah lagi akan kata kata Rasulullah saw..

Namun mereka masih tidak berpuas hati,  lalu menyuruh Rasulullah saw mengangkat sebelah kaki dan mengangkat kedua dua kaki, dalam keadaan ini sudah tentu Baginda tidak dapat melakukannya..lalu mereka mengatakan bagaimana Baginda boleh ke langit jika angkat kedua dua kaki pun tidak boleh...

Ketika Israk Mikraj, Nabi Muhammad saw ada memohon kepada Allah swt supaya dia tidak dikembalikan ke bumi,  tetapi Allah swt menghiburkan hati kekasihnya dengan satu hadiah yang tidak diberikan kepada para Nabi dan Rasul yang terdahulu..iaitu memerintahkan solat 50 waktu kepadanya dan umat islam keseluruhannya.  Solat itu adalah Mikraj umat manusia kepada Allah swt.  Sesungguhnya anugerah yang paling besar dari Allah swt kepada Nabi Muhammad saw dan umatnya adalah SOLAT...

Jadi jangan tinggal solat,  kerana solat adalah anugerah Allah swt kepada kita umatnya.

Tamat. wallahualam.

Terimakasih kepada Ustaz Norazman di atas ilmu yang dikongsikan bersama kami.  Semoga Allah swt membalasnya.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam istimewa iaitu Nasi Beryani Kambing, Lauk Beryani Daging, Ayam Masak Merah,Acar dan kuih muih.


tetamu tengah menjamu selera
Sambil makan kumpulan Maulid memperdengarkan sekali lagi Qasidah dan Marhaban kepada para tetamu.

Akhir kata,  terima kasih sekali lagi diucapkan kepada semua para tetamu, para AJK, orang kampung dan kaum ibu yang sama sama membantu melancarkan majlis ini.  InsyaAllah..bertemu lagi di program program yang akan datang.

Jangan lupa untuk menghadiri kelas kelas yang diadakan di surau tanah wakaf untuk menyemarakkan surau kita.

(untuk melihat suasana majlis, sila ke laman SUASANA MAJLIS ISRAK MIKRAJ http://galerisurautanahwakaf.blogspot.com/2012/06/suasana-majlis-israk-mikraj.html, di sana terdapat banyak gambar gambar untuk tatapan semua.)












No comments:

Post a Comment