Sunday, 8 March 2015

DIARI MAJLIS MAULIDUR RASUL SURAU TANAH WAKAF HILIR 1436 H (2015) , BERSAMA USTAZ ABDULLAH KHAIRI

PART 1

Assalamualaikum wbkt..

Sabtu, 28hb Febuari, 2015, hampir kesemua AJK Surau Tanah Wakaf hadir memberikan sokongan dan tenaga untuk gotong royong menyembelih dan melapah lembu dan kambing. Kaum wanita pula sibuk menyediakan bahan untuk masakan keesokkan harinya dan memasak hidangan makan tengahari untuk mereka yang bertugas pada hari itu.  Walau di dalam kesibukan, kelas Ustaz Rahim tetap dijalankan pada hari tersebut..

Ahad, 1hb, Mac, 2015, pagi pagi lagi AJK berkaitan telah datang untuk menyediakan pelbagai kerja yang perlu disiapkan sebelum petang hari tersebut.  Paling sibuk, sudah tentulah kaum wanita kerana mereka ditugaskan untuk memasak kari kambing sebanyak 3 ekor dan daging dari lembu seekor dimasak lompap (lemak cili api) dan rendang kacang. Kaum lelaki pula sibuk menyusun meja, kerusi dan beberapa kerja rencam yang lain. Segalanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Alhamdulillah.

6:30 petang

Jemaah mula datang berperingkat peringkat hinggalah tiba waktu Maghrib.

7:30 malam

Masuk waktu maghrib.  Surau telah mulai dipenuhi oleh jemaah lelaki, hingga melimpah ke sisi kiri surau iaitu di ruang legar.  Manakala jemaah wanita pula ditempatkan di sisi kanan surau yang juga di ruang legar.  

Selesai solat maghrib, Ustaz Abdullah Khairi masih belum tiba jadi kami meneruskan Majlis Selawat beramai ramai dengan pimpinan imam Azizan dan imam Azhar.  Usai selawat, Ustaz Abdullah Khairi tiba tepat pada masanya.

Sebelum Ustaz Abdullah Khairi memberi ceramah, Tuan Pengerusi Majlis telah memberi ucapan pembuka. 

Ceramah Ustaz Abdullah Khairi (AK)

Menghayati Nabi Muhammad Saw

Ucapan dimulai dengan kata kata aluan kepada kesemua "bakal bakal jenazah" yang diistilahkan oleh beliau.  Beliau juga mengucapkan rasa syukur dan tahniah kepada kesemua para jemaah kerana berjaya membina surau yang tersergam hasil dari kutipan derma orang ramai.  Katanya surau adalah rumah yang kita singgah sebelum kita mati. Katanya setiap derma yang diberi, dimanfaatkan seperti bangunan itu sendiri, lampu, kipas, penghawa dingin dan sebagainya...apabila digunakan maka pahalanya akan sentiasa berjalan dan kita akan mendapat imbuhan pahala tersebut.

Ustaz AK berkata lagi, jika kita berselawat kepada Rasulullah saw, Allah swt akan berselawat kepada kita pula...

Kita sayang Nabi bukan pada hari tertentu sahaja, ingatlah Baginda selalu iaitu dengan berselawat ke atasnya.

Dikisahkan Abu Bakar ra.  sangat sayangkan Nabi saw.  Nabi pernah tidur di atas pangkuan Abu Bakar ra. Lalu Ustaz menceritakan perihal peristiwa di dalam gua semasa Baginda saw. dan Abu Bakar ra keluar dari Mekah untuk lari ke Madinah.  Bagaimana Abu Bakar ra telah menutup lubang lubang ular dengan menggunakan jari kaki dan tangan hingga menitis air matanya kerana tidak tahan menanggung kesakitan gara gara ingin melindungi insan yang disayanginya dan juga kekasih Allah yang sangat mulia itu.  Di mana ada Nabi saw, di situ ada Abu Bakar ra.

Selepas kewafatan Baginda saw, Abu Bakar ra telah beberapa kali mengulangi Aisyah ra untuk menanyakan akan amalan Rasulullah saw semasa hidupnya kerana dia ingin menyambung akan amalan Rasulullah saw itu.  

Akhirnya Aisyah ra menceritakan perihal Rasulullah saw yang setiap hari akan ke pasar membawa roti dan air untuk diberi makan kepada seorang yahudi tua dan buta.  Melalui Abu Bakar ra, yahudi itu mengetahui orang yang selama ini memberinya makan adalah Nabi Muhammad Saw yang sangat dibenci dan disumpah seranah olehnya. Insan mulia itu juga telah wafat.  Yahudi itu sangat takjub akan keperibadian Baginda dan merasa kesal kerana pernah menyumpah Nabi saw di hadapan Nabi sendiri, kerana dia tidak tahu siapa yang menyuapkan makanan ke mulutnya sebelum itu.  Akhirnya yahudi tua itu masuk islam.

Ustaz AK juga sempat menyelitkan kisah latar belakang keluarganya yang berasal dari Siam.  Di atas rahmat Allah swt, moyang atau datuknya telah memeluk islam, sehinggalah lahirnya dia yang menjadi seorang pendakwah yang disegani. Isterinya pula berketurunan mamak penang.  Beliau sempat berseloroh..katanya siam campur mamak jadi semak.

Atas rahmatNya dia islam.  Selawatlah banyak banyak untuk mengingati Rasulullah saw. Binatang juga sayangkan Baginda saw. Diceritakan oleh Ustaz kisah Kijang dengan Rasulullah.  Pada satu hari Rasulullah saw pergi ke satu tempat dan tiba tiba terdengar ada satu suara memberi salam dari arah belukar.  Puas Baginda mencarinya dan akhirnya terserempak dengan seekor kijang yang terkena jerat. 

Rasulullah saw menjawab salam kijang tersebut dan kijang kemudiannya meminta Baginda agar melepaskannya daripada jerat itu. Nabi saw menjawab, “Kamu bukan kepunyaan aku tetapi kepunyaan orang lain”. Kijang berkata lagi, “Kau lepaskan aku Rasulullah kerana aku hendak menyusukan dua ekor anak aku yang seharian tidak menyusu dan kelaparan. Aku hendak menyusukan sekenyang-kenyangnya mereka dan mengucapkan selamat tinggal. Aku berjanji aku akan datang semula dan kemudian kau tambatlah aku semula di sini”. Rasulullah saw berkata, “Aku nak pegang janji apa dengan kau kalau aku lepaskan kau yang bukan milikku?”. Kijang berkata, “Aku berjanji dengan nama Allah swt”. Rasulullah saw melepaskan kijang tersebut dan kijang itu berlari sekuat-kuat dan sepantasnya.

Seharian Rasulullah SAW menunggu dan Baginda hampir meninggalkan tempat tersebut. Tiba-tiba, kijang melompat turun dari atas bukit kerana terlambat dan khuatir Rasulullah SAW meninggalkan tempat tersebut. Kijang memberitahu yang ia terlewat kerana anak-anaknya menyusu dengan sepuas-puasnya hingga dia sendiri tertidur.

Rasulullah saw kemudian menambat semula kijang tersebut dan meneruskan perjalanannya. Apabila bertemu dengan kaum yang ingin ditemuinya, Baginda saw terus bertanya, “Di antara kamu, siapakah yang memasang jerat berhampiran dengan bukit tersebut?”. Seorang pemuda kemudian mengaku bahawa beliau telah memasang jerat itu. Nabi saw mengatakan bahawa jeratnya telah mengena. Pemuda itu berkata, “Aku berniat jika jerat aku mengena, aku hendak memberikan kijang tersebut kepadamu, Rasulullah!”. Nabi saw mengucapkan terima kasih dan Baginda memang mahukan sangat kijang tersebut.

Kemudiannya, Rasulullah saw  kembali ke jerat tersebut membuka tali jerat pada kaki Kijang tersebut. Kijang berkata sekarang aku milikmu, apakah yang boleh aku lakukan untuk membantu kamu ya Rasulullah. Kijang tersebut ingin berdakwah bersama Nabi saw. Nabi saw menyatakan Binatang tidak dipertanggungjawabkan untuk berdakwah.

Binatang bertanya apa nak dibuat untuk membantu perjuangan Baginda saw tapi kita hina orang yang ikut sunnah Nabi saw..

Diceritakan juga oleh Ustaz AK, kisah semasa Perang Khandak dimana Nabi Muhammad saw dan para sahabat bersama sama bergotong royong mengali parit yang jauhnya hampir 16km untuk melindung Madinah dari serangan musuh.  Semasa mengali terdapat batu yang sangat besar menghalang kerja mengali para sahabat.  Atas mukjizat kurniaan Allah swt, Nabi saw memukul 3 kali dan batu itu hancur.  

Semasa memukul batu itu, baju Baginda saw terangkat dan terlihat oleh sahabat yang bernama Sayyidina Jabir al Ansari akan diperutnya ada diikat dengan ketulan batu.  Lalu ditanyakan kepada Baginda sendiri dan Nabi saw berkata yang dia dah tak makan selama 3 hari.  Sayyidina Jabir telah kembali ke rumahnya dan bertanya kepada isterinya akan apakah makanan yang ada di rumah mereka dan tujuannya untuk memberi makan Baginda yang sudah 3 hari tidak menyentuh makanan. Isterinya mengatakan ada 2 biji roti dan kambing peliharaan mereka yang kurus.  Beliau menyembelih kambing itu dan menyuruh isterinya memasak untuk dihidangkan kepada Rasulullah saw seorang sahaja.

Sampai di parit, Sayyidina Jabir al Ansari berbisik kepada Rasulullah untuk menjamu Baginda saw ke rumahnya.  Katanya aku hanya ada roti dan kambing.  Tiba tiba Rasulullah saw berdiri di satu tempat tinggi dan mengumumkan yang Jabir al Ansari menjemput kesemua para sahabat yang mengali parit tersebut ke rumahnya kerana ada jamuan makan.  Sayyidina Jabir merasa sangat susah hati dan menyatakan kepada isterinya dan isterinya menenangkannya yang Nabi saw adalah kekasih Allah, Allah pasti membantu mereka.

Sesampai di rumah Sayyidina Jabir, Nabi Muhammad saw bertanyakan akan roti dan lauk kambing yang dimasak oleh isteri Sayyidina Jabir.  Nabi Muhammad saw sendiri mencedok dan membahagikan kepada kesemua tetamu Sayyidina Jabir yang seramai 1,000 orang dan Subhanallah, makanan itu cukup dan mengenyangkan tetamunya.  Nabi Muhammad saw juga mengatakan kepada Sayyidina Jabir, makanan masih berbaki untuk keluarganya.  Sayyidina Jabir terpana melihat sendiri, roti dan lauk kambing masih tidak luak.  

Sayyidina Jabir bersimpuh di hadapan Nabi saw, lutut bertemu lutut dan memegang tangan Baginda saw.  "ya Rasulullah jika aku tak yakin pada mu, siapalah aku ya Rasulullah"

Terdapat versi lain sedikit berkaitan kisah menarik di atas, untuk pengetahuan semua...tetap menyentuh hati...

--------------------------------------------------------------------------------------------
http://mujahidahsyahidfisabilillah.blogspot.com

Selepas Saiyidina Salman al Farisi mendapat ilham untuk mengorek parit besar keliling Kota Madinah, Rasulullah saw bersama 1000 tentera Islam terus menggali parit. Ketika sedang menggali parit, Rasulullah saw dan tentera Islam dalam keadaan sangat lapar disebabkan kehabisan bekalan makanan. Datang seorang sahabat mengadu kepada Baginda, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya aku dalam keadaan yang sangat lapar’ lalu menunjukkan 2 ketul ikatan batu di perutnya. Melihat keadaan itu, Baginda terus menunjukkan 3 ketul ikatan batu di perut baginda yang mulia, lalu fahamlah sahabat tadi bahawa Rasulullah saw lebih lapar darinya dan dia terus pergi.

Beberapa ketika kemudian, Baginda memanggil seorang sahabat, iaitu Saiyidina Jabir al Ansari. ‘Wahai Jabir, bolehkah engkau ke mari sebentar?’ Mendengar seruan Baginda, Saiyidina Jabir menyahut ‘Nyawa taruhanku’ sebagai adab dengan Baginda dan terus berlari ke arahnya. ‘Wahai Jabir, ada apa-apakah di rumahmu yang boleh dijamu untuk tentera-tentera Islam?’. ‘Tidak ada apa-apa ya Rasulullah saw, melainkan seekor kambing tua lagi kurus.’ Jawab Saiyidina Jabir. ‘ Pulanglah engkau ke rumah untuk bersiap-siap dan menjamu tentera Islam dengan kambing itu.’ Tanpa sebarang bantahan dia terus taat dan patuh kepada Rasulullah saw demi membuktikan cintanya.Langsung tidak terdetik di hatinya, cukupkah jamuan seekor kambing untuk seribu orang tentera. Sangat lurus hatinya terhadap Rasulullah saw. Saiyidina Jabir terus berlari pulang ke rumah dan menyampaikan berita itu kepada isterinya.

Si isteri terus menyiapkan bahan untuk dimasak, manakala Saiyidia Jabir menguruskan penyembelihan kambing, ditemani 2 org puteranya Sa’ad, 6thn, dan Sa’ed, 4thn. Seperti kanak-kanak lain, Sa’ad dan Sa’ed melihat bapanya menyembelih dengan penuh perhatian tanpa memahami hakikat peristiwa itu. Setelah selesai menyembelih, Saiyidina Jabir meninggalkan 2 orang puteranya di situ untuk menyambung proses masakan yang lain. Melihat keadaan bapa mereka yang sibuk, Sa’ad berkata pada adiknya, ‘Wahai adikku Sa’ed, mari kita bermain seperti apa yang bapa lakukan tadi,’ Sa’ed bersetuju lalu si abang menyerahkan tengkuknya. Sa’ed mengambil pisau tadi lalu menyembelih abgnya sehingga mati. Melihatkan perihal itu, Sa’ed berkata ‘Abang, jomlah main lagi, kenapa diam? . Melihatkan tiada respon daripada abangnya, kanak-kanak berusia 4thn itu terus berlari mendapatkan bapanya kerana rasa tidak sedap hati.


Sementara itu Saiyidina Jabir sedang menyiapkan unggun api yang besar untuk memanggang kambing tua tadi Setelah api marak membakar, kelihatan anaknya Sa’ed berlari dengan laju, lalu tersadung batu dan tercampak ke dalam unggun api yang marak dan besar itu. Saiyidina Jabir cuba untuk menyelamatkannya, malangnya tidak sempat, anaknya sudah menemui ajal. Mendapat tahu putera sulungnya juga sudah mati, dibawa kedua-dua mayat anaknya ke dalam bilik.


Atas dasar cintakan dan mentaati Rasulullah saw, kedua-dua suami isteri itu menyambung kerja-kerja memasak mereka. Kemudian Rasulullah saw tiba bersama dengan para tentera Islam di rumah Saiyidina Jabir. Melihatkan rumah Saiyidina Jabir yang agak kecil, berkatalah seorang sahabat, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya Rumah Saiyidina Jabir ini agak kecil, dan tidak mampu menampung bilangan kita yang ramai. Baginda berkata, ‘Sesungguhnya Allah dan Rasul lebih mengetahui’ dan Baginda terus melekapkan dua tapak tangannya ke dinding rumah Saiyidina Jabir dan menggerakkan kedua tangannya ke kiri dan ke kanan. Dinding rumah Saiyidina Jabir bergerak dan ruang rumahnya menjadi luas. Maka sekalian sahabat pun masuk dengan penuh beradab.

Di dalam rumah, setelah semua sahabat mengambil tempat duduk, makanan pun terus diagihkan mengikut sunnah Rasulullah saw yang mana tetamu yang duduk di hujung dahulu diutamakan. Kebesaran Allah dan mukjizat Nabi-Nya berlaku apabila makanan yg dicedok tidak kehabisan bahkan mencukupi untuk semua sahabat.

Kemudian sebelum makan, Baginda bertanya kepada Saiyidina Jabir, ‘Wahai Jabir, aku mendengar engkau mempunyai 2 org putera kecil, di mana mereka? Ajaklah mereka sekali makan bersamaku.


‘ Tidak apa Rasulullah saw, Tuan makanlah dahulu,’ jawab Saiyidina Jabir tidak mahu menganggu baginda menjamu selera jika diceritakan hal yg sebenar. Baginda berkata lagi,


‘Wahai Jabir, panggilah kedua orang puteramu itu, aku mahu makan bersama mereka’. Saiyidina Jabir menjawab lagi, tidak mengapa Ya Rasulullah saw, mereka ada di dalam. Tuan makanlah bersama sahabat dahulu.’ Lalu Baginda bertanya,’Apakah nama kedua orang puteramu itu wahai Jabir?’ ‘Sa’ad dan Sa’ed’ Saiyidina Jabir menjawab. Kemudian Baginda memanggil, ‘Wahai Sa’ad dan Sa’ed, keluar dan kemarilah kamu berdua datang menjamu selera bersama kami!’. Maka berlari keluarlah dua-dua anak itu mendapatkan Rasulullah saw dan mereka makan bersama. Kedua-dua orang anak itu hidup dan berketurunan seperti orang lain.

--------------------------------------------------------------------------------------------


BERSAMBUNG...






No comments:

Post a Comment